Bajet 2019 telah pun dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia yg baru; YB Lim Guan Eng pada akhir tahun 2018 yang lalu.
Bajet 2019 ini dibentangkan bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.
Berikut merupakan inisiatif dan polisi yang dibentangkan untuk Bajet 2019 yang akan memberi impak kepada pasaran hartanah untuk rujukan anda:
Rumah Mampu Milik
Kerajaan akan terus membina dan menyiapkan rumah mampu milik. Peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd. Ini adalah demi memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi.
Pengecualian Duti Setem
Untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik. Manakala perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020.
Bantu deposit untuk pembeli rumah pertama
Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit.
Pinjaman untuk kakitangan kerajaan
Kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Tempoh pembiayaan pertama adalah daripada 30 tahun kepada 35 tahun. Manakala tempoh Pembiayaan Kedua daripada 25 tahun kepada 30 tahun.
Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT/RPGT)
Bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5% kepada 10%; dan Bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 0% kepada 5%. Walaubagaimanapun, CKHT dikecualikan atas harga hartanah di bawah RM200,000 yang dikategorikan sebagai rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah atau rumah mampu milik.
Pinjaman untuk golong B40
Untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama, dana berjumlah RM1 bilion akan ditubuhkan oleh Bank Negara untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.
Kenaikan Kadar Duti Setem
Kadar duti setem bagi pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan sebanyak 1% peratus daripada kadar cukai 3% kepada 4%.
SST (Sales & Service Tax)
Kerajaan telah mengumumkan pengecualian SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan. Dengan itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 10% harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baharu.
Lambakan Hartanah tak terjual bernilai RM22Bil
Bagi menangani isu ini, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta berkuatkuasa bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari 2019.